Wednesday, 31 July 2019

SILAP LANGKAH HIBAH PUN BOLEH MEMAKAN DIRI PEMBERI.

Dalam tulisan sebelum ini berkenaan hibah hartanah, seorang hamba Allah bertanya soalan yang sangat baik.

Soalan beliau, "sekiranya rumah contohnya dihibahkan kepada isteri kemudian berlaku cerai hidup, apakah kedudukan hibah dan rumah tersebut?.

Suka saya sebutkan dua perkara penting disini. Pertama, peri penting memahami hukum dan kesan undang undang daripada setiap dokumen yang kita buat. Kedua, peri penting mengetahui bahawa tiada "silver bullet" yang boleh menyelesaikan semua aspek dan kehendak kita dalam semua kemungkinan serta keadaan.

Dalam aspek hukum dan undang undang islam, apabila sesuatu hibah itu memenuhi rukun hibah yakni adanya pemberi, penerima, pemilikan, ijab qabul dan syarat qabd maka hibah tersebut sah. Syarak juga menetapkan bahawa hibah selain kepada anak, cucu dan keturunan kebawah tidak boleh ditarik balik KECUALI dengan persetujuan penerima. Maknanya, sekiranya penerima hibah adalah isteri, suami hanya boleh menarik balik hibah jika isteri setuju untuk mengembalikan harta yang dihibahkan(ramai suami 😧😧😧).

Kenapa begitu? Kerana sifat hibah itu sendiri yang bermaksud hadiah yaitu pemberian atas rasa kasih sayang, ikhlas dan tanpa mengharapkan balasan. Sebagai hadiah, mana mungkin kita mengambil semula hadiah yang kita berikan kepada sahabat contohnya selepas kita tidak lagi baik dengan beliau! Ini kerana pemberian tersebut telahpun berlaku dan kepunyaan harta sebenarnya telah berpindah kepada penerima hibah. Yang belum berlaku hanyalah "triggering event" untuk melakukan pemindahan hak milik didalam geran yang lebih kepada pentadbiran undang undang sivil.

Perkara kedua mengenai konotasi bahawa hibah "selesaikan semua masalah". Perlu difahami bahawa setiap sesuatu itu perlu diletakkan pada tempatnya untuk ia berfungsi dengan baik. 

Begitulah juga dengan hibah, ia disyariatkan untuk tujuan tertentu dan dengan syarat yang tertentu. Ia berkesan dan menjadi baik jika dilaksanakan dengan betul, kena pada tempatnya dan keadaan yang tertentu. Sekiranya tidak, seperti mana kaedah lain ia juga boleh menyebabkan tujuan tersasar dan hasrat ia dibuat tidak tercapai.

Dalam konteks hibah kepada isteri, suami perlu jelas bahawa sekiranya berlaku perceraian hidup, maka harta yang dihibahkan menjadi hak isteri setelah disahkan mahkamah. Justeru, kepada yang risau akan kemungkinan ini mungkin hibah kepada isteri bukan instrumen terbaik untuk anda(awas!! pada pandangan isteri ia sangat baik😂😂). 

Mungkin kaedah yang lebih sesuai ialah hibah kepada anak dengan diletakkan syarat untuk menjaga kebajikan isteri atau meletakkan harta kedalam amanah(hanya harta tidak bercagar) yang juga boleh mencapai hasrat asal anda.

Barang diingat kaedah ini pun ada kesan yang berbeza di sudut undang undang. Dikala ia sesuai dengan anda mungkin tidak sesuai pula dengan orang lain. Kenapa? kerana setiap orang mempunyai keperluan yang unik dan mengalami keadaan keluarga yang berbeza.

Justeru, penyelesaian terbaik hanya boleh diberikan selepas perunding memahami keperluan dan keadaan setiap kes secara berasingan. Macam jumpa doktor, doktor perlu memastikan simptom dan punca sakit yang betul sebelum boleh memberi ubat yang terbaik!

Kalau tanya saya tiada jawapan "direct". Kena faham dulu situasi anda baru boleh rancang. Selepas faham baru sembang nak hibah ke, wasiat ke atau amanah. Siapa waris dan berapa bahagian mereka pun tak tahu, macam mana nak rancang, betul tak?

Saya tawarkan pengiraan faraid PERCUMA kepada sesiapa yang mahu tahu. Bagaimana? Kalau berminat boleh hubungi saya.

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278




KENAPA HIBAH LEBIH BAIK DARIPADA PINDAH MILIK(14a)?

Saya selalu bergurau semasa sesi dialog atau semasa perbincangan dengan client, kalau nak tahu suami betul betul sayang atau tak suruh dia hibah harta dia kepada puan!

Selalunya isteri akan menyambut dengan senyuman lebar tetapi si suami akan buat buat tak faham atau sengih kelat.

Tetapi semalam, seorang rakan perunding berkongsi cerita yang lebih hebat. Seorang client beliau sudah berkahwin tetapi belum direzekikan dengan cahaya mata. Setelah berfikir panjang untuk membuat hibah rumah beliau bertukar fikiran dan sebaliknya membuat pindah milik 14 a kepada isteri beliau.

Lagi senang katanya, dah selesai tak payah risau dah nak tukar nama kemudian hari. Wow! lagi sayang dia kepada isterinya! Kalau hibah, lepas ketiadaan baru pindah milik dibuat, ini terus jadi hak mutlak isteri. Begitulah kasihnya suami kepada isteri.

Tetapi, manusia merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah adalah sebaik baik rancangan. Selang beberapa bulan pindah milik dibuat, isteri dipanggil pulang oleh Ilahi. Maka bermulalah cerita baru si suami dengan waris faraid lain arwah iaitu adik beradik simati.

Si suami meminta waris mengembalikan semula rumah kepada beliau kerana itulah rumah yang beliau diami. Lagipun dia pindah milik dengan anggapan sekiranya berlaku perkara tak diingini kepada beliau, isterinya tak perlu berkongsi rumah dengan adik beradik beliau. Malangnya, sebaliknya yang berlaku! Isteri pergi dahulu.

Adik beradik isteri berkeras rumah difaraidkan sebagaimana harta lain. Jadi bahagian suami 1/2, selebihnya milik adik beradik arwah. Termenunglah si suami, rumah yang asalnya milik beliau menjadi hak orang lain kerana kesilapan diri sendiri.

Dalam hal ini langkah yang lebih baik patut beliau lakukan ialah hibah. Walaupun pindah milik dan hibah menghasilkan keputusan akhir yang sama tetapi perlaksanaannya berbeza. 14a adalah pindah milik dan pemilikan harta tersebut telah berpindah kepada pemilik baru selepas pindah milik dibuat. Jadi, sekiranya pemilik meninggal dunia, harta itu menjadi pusaka simati.

Berbeza dengan hibah. Melalui hibah hanya akad pemberian hibah dibuat manakala pindah milik akan dibuat selepas kematian pemberi hibah. Uniknya hibah ruqba ini, selain memenuhi hasrat si pemberi memberi harta, pada masa sama ia juga melindungi hak si pemberi sekiranya penerima meninggal dahulu dimana harta tersebut akan kembali kepada si pemberi. Jadi dengan hibah, hasrat terlaksana dan hak pemberi juga terjaga! Bagus kan begitu? Cantiknya Islam.

Kalau anda berminat mengetahui lebih lanjut berkenaan cara membuat hibah, kenapa hibah cara terbaik memberi harta dan adakah harta anda boleh dihibah? saya ada sediakan ebook ringkas mengenai hibah. Sapa yang mahu boleh PM atau whatsap saya, saya beri PERCUMA!

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278

RAMAI RISAU PASAL HARTA DAN PUSAKA. SOALNYA APA TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL?

2 hari lalu seorang sahabat maya berkongsi satu post menarik. Si pencerita menceritakan pengalaman dihubungi seorang wanita berkenaan harta pusaka arwah anak lelakinya. Lebih kurang, si ibu berkata "kami hanya mengikut ketentuan agama" berkenaan bahagaian faraid ayah dan ibu. Bahasa mudah, ibu dan ayah mertua menuntut hak faraid mereka.

Tidak dinafikan tulisan beliau menarik. Tetapi apabila saya baca komen, ternyata komen komen netizen jauh lebih "menarik". Majoritinya, maaf saya hanya berkata benar, perempuan.

Mereka sukarela menjadi "pejuang" hak dan keadilan. Mereka begitu beremosi dalam melontarkan hujah. Diungkitnya soal keadilan, tanggung jawap dan hak.
Ada hujah yang betul dan pada masa yang sama banyak yang tidak tepat.

Diruang komen seorang wanita bertanya saya samada saya "sanggup melihat" dan berkata tindakan mertua menuntut hak "tak gentle".

Ringkasnya, apabila bercakap mengenai harta pusaka dan hak, kita cenderung untuk menjadi begitu defensif. Bergantung dimana kedudukan dan keadaan kita, kita cenderung untuk bermati matian mempertahankan hak dan hujah tersebut.

Dalam cerita diatas itulah yang terjadi.
Si anak meninggal dunia meninggalkan isteri, anak anak dan ibu bapa. Semua mereka adalah waris FARAID, malah bahagian ibu dan bapa adalah 1/3 daripada keseluruhan harta. Sebab itulah para "pejuang" tadi berhujah betapa buruknya sikap mertua yang mahukan bahagian faraid mereka. Lebih teruk ada yang berhujah datuk dan nenek memakan harta anak yatim.

Sebenarnya, dalam soal harta pusaka, Islam satu satunya agama yang memberi panduan paling JELAS. Hak adalah hak dan tiada siapa yang boleh menafikan hak ibu dan ayah keatas pusaka anaknya, atas apa alasan sekalipun. Menentang bermakna, berseteru dengan Al Quran!

Pada masa sama, Islam juga satu satunya agama yang memberi aturan lengkap tentang tanggungjawap terutamanya terhadap pusaka yang dipusakai dan tanggungan yang ditinggalkan. Dalam kes ini, anak anak arwah.

Hak keatas pusaka dan tanggungjawap keatas tanggungan simati adalah dua perkara BERBEZA walaupun ia berkait. Tidak boleh malah haram menafikan hak keatas pusaka dengan alasan si penerima tidak akan menunaikan tanggungjawap. Pada masa yang sama, kegagalan mendapatkan pusaka juga bukan alasan untuk lari daripada tanggungjawap.

Maksud saya, seorang menantu tidak boleh membolot pusaka arwah suaminya tanpa memberikan bahagian ibu dan ayah mertua, atas apa alasan sekalipun! Ayah mertua pula tidak boleh melepaskan tanggungjawap keatas cucunya, atas apa alasan sekalipun!
Kedua dua pihak bertanggungjawap dan tanggungjawap ini akan dibebankan keatas mereka di hadapan yang Maha Adil.

Memang benar seorang isteri yang kehilangan suami akan hilang punca dan buntu. Apatah lagi kalau dia tidak berkerja dan ada anak yang ramai, boleh gila dibuatnya. Tidak dinafikan juga dalam banyak keadaan hak mereka dinafikan dan nafkah anak anak tiada yang memberi.

Pada masa sama, jangan kita lupa ramai ibu dan ayah yang telah tua juga turut memerlukan. Semasa anak mereka masih hidup, mungkin dialah yang menanggung ibu dan ayah, dan memang tanggungjawap dia pun! Hilangnya anak, maka hilang juga saraan bulanan mereka. Siapa akan membela nasib mereka?

Jadi jangan hanya melihat dari perspektif anda(atau perspektif yang anda "favor"). Lihat juga daripada perspektif orang lain yang turut berhak. Matlamat untuk melindungi hak isteri dan anak anak itu mulia. Tapi bukan dengan menafikan hak ibu dah ayah simati. Islam mengajar kita bahawa matlamat tidak pernah menghalalkan cara, tak kira sebaik manapun matlamatnya.

Hari ini anda sebagai isteri dan ibu mungkin berkata mertua sepatutnya melepaskan hak, beri semua kepada menantu dan cucu. Jangan lupa suatu hari nanti anda akan bergelar mertua, dan ujian sama menimpa. Bagaimana kalau ketika itu ada memerlukan hak anda untuk meneruskan sisa kehidupan? Apa perasaan anda dicemuh kerana mengambil hak anda sebagai ibu simati hanya untuk menyara hidup? Ingat, putaran hidup ini ibarat roda. Mudah kita berkata kalau belum merasa.

Ini belum lagi bercerita mengenai hak anak yang sepatutnya dipegang penuh amanah dan diserah kepada mereka bila sudah dewasa habis begitu sahaja. Lebih parah dinikmati bapa tiri selepas ibu berkahwin semula. Sungguh ia tidak mudah dan "simple" seperti yang kita nampak, kerana pertimbangan kita ada had. Perkiraan Allah adalah sebaiknya.

Berbalik kepada tajuk dan soalan saya diawal tulisan. Anda nak keadilan kepada isteri. Nak hak anak yatim terpelihara dan sebagainya. Persoalannya apa tindakan yang telah anda buat?

Allah syariatkan faraid. Agama ini juga syariatkan wasiat 1/3, hibah, waqaf dan amanah sebagai salah satu cara mentadbir harta. Bezanya faraid terpakai kepada yang tidak melakukan apa apa, yang lain kepada yang mengambil pengajaran dan bertindak ketika masih bernyawa.

Soalnya! Sudahkah anda suruh suami lantik pentadbir?
Sudah suruh suami lantik anda pemegang amanah anak bawah umur?
Sudahkan minta suami hibahkan rumah didiami kepada anda demi masa depan?
Sudahkan suami berwasiat?
Sudahkan suami isytihar harta sepencarian beliau dengan anda?

Kalau jawapan kepada semua soalan diatas adalah BELUM, emosi dan marah anda tidak akan mengubah apa apa. Jangankan hak isteri dan anak anak, hak sesiapa pun belum terjamin akan diperolehi dengan mudah.

Ambil iktibar itu hanya bermakna kalau ia disusuli dengan tindakan. Bertindak sekarang!

Kongsi dengan insan tersayang. Jangan biar harta anda menjadi punca perkelahian waris. Biar jadi barakah bukan musibah.

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 3399278

PENTINGNYA MERANCANG HARTA ANDA.

KETIKANYA PASTI TIBA BILA KITA PERLU SELESAIKAN URUSAN PUSAKA...SOALNYA KITA BERSEDIA ATAU TIDAK?

Awal pagi tadi dihubungi rakan perunding. Beliau beritahu client sahabat beliau telah meninggal dunia beberapa hari yang lalu pada usia 40 tahun akibat kanser. Arwah meninggalkan isteri dan anak anak yang masih kecil.

Beliau mahu mengesahkan samada betul atau tidak pembayaran manfaat kematian sijil takaful akan dibuat kepada waris walaupun tiada penamaan dibuat? Ini kerana si isteri sangat risau terutamanya pembayaran ansuran rumah kerana suami tidak mengambil MRTA/T. Bagaimana nak bayar? Duit KWSP suami pun dah banyak berkurang digunakan untuk perubatan arwah.

Sebelum saya ulas keperluan perlindungan pinjaman, biar saya jelaskan berkenaan sijil takaful arwah terlebih dahulu.

Untuk sijil takaful tidak berpenama, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 begitu jelas iaitu pada Jadual 10, perkara 8.2 (a) dan (b), sekiranya tiada penamaan dibuat, pihak takaful akan membuat bayaran kepada penuntut yang sah tanpa memerlukan probate atau surat kuasa mentadbir. Bezanya cuma sekiranya nilai pampasan melebihi RM100 ribu maka hanya RM100 ribu dibayar kepada penuntut manakala bakinya hanya akan dibayar selepas surat kuasa mentadbir diperolehi waris daripada mahkamah.

Jadi disinilah nampak jelas kenapa takaful adalah cara paling praktikal untuk mendapat tunai mudah selepas kematian! Barang diingat, duit di bank, Tabung Haji(tanpa penamaan), ASB(tanpa penamaan) perlu kepada surat kuasa mentadbir dan proses mendapatkannya agak mengambil masa. Kita lihat disini, walaupun tanpa penamaan paling kurang waris akan mendapat tunai RM100 ribu pada kadar segera. Berapa segera?

Di dalam IFSA 2013 menjelaskan pembayaran akan dibuat tidak lebih daripada 60 hari selepas syarikat takaful dmaklumkan(melalui tuntutan) berkenaan kematian simati. Maka duit itu boleh diguna untuk keperluan segera dan juga untuk memulakan proses tuntutan harta. Ya! Proses menuntut harta bukan percuma! Ramai waris nakkan harta tapi ramai juga waris yang tiada kemampuan untuk memulakan tuntutan harta. Kenapa?

Berbalik kepada kisah sedih tadi. Isteri simati risau kerana hutang rumah berbaki RM400 ribu tanpa MRTA. Maksudnya, isteri kena sambung bayar sekiranya masih berkehendakkan rumah.

Nasihat saya, pertama, pastikan dalam keghairahan anda membeli rumah, anda mengambil MRTA atau sijil takaful manfaat kematian untuk melindungi pinjaman bank. Ambil tahu juga samada MRTA atau sijil takaful memberi perlindungan penuh ataupun tidak. Huh?? Ya, ramai yang saya jumpa bila menguruskan perancangan harta hanya mempunyai perlindungan terhad!

Pinjaman 35 tahun tapi MRTA hanya 15 tahun. Kenapa begini? Acap kali, untuk mengurangkan kos pinjaman, pembeli tanpa atau dengan sedar mengambil perlindungan tidak mencukupi. Lebih parah, pegawai pinjaman bank tidak pun beritahu kepada peminjam risiko besar dipikul. Asalkan pinjaman lepas selesai kerja beliau dan dapat komisennya. Bukan semua tapi ada. Jadi, ambil tahu! Jangan bila dah terhantuk baru nak salahkan bank, ejen takaful dan sebagainya. Ia tanggungjawap anda!

Kedua, dalam kes ini sejumlah besar KWSP arwah telah digunakan untuk perubatan. Maknanya, baki KWSP sudah berkurang untuk diwariskan kepada keluarga. Bertuahnya keluarga ini kerana ibu dan bapa mertua melepaskan hak mereka dan menyerahkan bahagian kepada cucu. Soalnya adakah semua datuk dan nenek bersikap demikian? Mungkin tidak dan memang tidak salahpun kalau mereka hendak kerana ia memang HAK.

Untuk KWSP ramai bertanya saya, patut atau tidak letak penama? Jawapan saya, sekiranya penama anda diyakini amanahnya maka letsklah penama kerana ia akan memudahkan tuntutan dalam masa paling singkat! Tapi kalau tak yakin, pilihan ditangan anda.

Akhir sekali, saya cadangkan anda buatlah perancangan harta. Ia sangat penting! Dalam kes ni, si isteri terpaksa buat sendiri dan turut naik mahkamah kerana tidak mampu melantik profesional menguruskan.

Sayang seribu kali sayang! Kalau arwah ada melanggan khairat pusaka Wasiyyah Shoppe Trustee(WSB), WSB akan uruskan tuntutan pusaka arwah dengan segera dan TANPA KOS kepada isteri beliau. Kenapa? kerana melalui khairat pusaka WSB, pelanggan akan menikmati pelbagai perkhidmatan semasa hidup dan selepas kematian meliputi perancangan harta, wasiat pentadbiran dan urusan tuntutan pusaka.

Berapa kos menyertai khairat pusaka WSB? RM50 sebulan untuk umur 45 tahun kebawah dan RM60 sebulan untuk 45 tahun keatas. Berbaloi kan? Amat berbaloi! Tiada organisasi lain menawarkan pelan seperti ini di Malaysia! WSB satu satunya yang menawarkan perkhidmatan ini.

Tanya saya.

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278

Tuesday, 30 July 2019

3 KAEDAH BERKESAN DALAM MERANCANG HARTA

Ramai orang mempunyai anak angkat. Seorang ibu bapa angkat yang saya jumpa menyatakan kasih sayang mereka kepada anak angkat mereka sama sahaja dengan kasih kepada anak sendiri.

"pada kami dia anak kandung kami, tak ada beza. Kami bela dari kaki besar dua jari".

Benar, kasih sayang sama sahaja. Malah dalam sesetengah keadaan anak angkat lebih mengambil berat kebajikan ibu dan ayah berbanding anak sendiri. Ramai anak angkay menjaga ibu dan ayah angkat yang sakit dan menguruskan kebajikan mereka.

Pun begitu, dalam urusan harta pusaka, syarak menetapkan anak angkat TIADA hak sama sekali keatas faraid. Ya, tak kiralah sesayang manapun ibu dan ayah angkat kepada anak angkat, dia tetap tidak mewarisi pusaka ibu mahupun ayah angkat.

Persoalannya, bagaimana ibu dan ayah angkat boleh menyantuni kebajikan anak angkat mereka? Bolehkah mereka rancang harta mereka supaya anak angkat boleh mewarisi sebahagian harta?

Jawapannya BOLEH! Dengan syarat perancangan mesti dibuat semasa hidup. 
Ada beberapa kaedah yang boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian.

Kaedah pertama adalah melalui wasiat 1/3. Seperti mana kita tahu wasiat kepada waris tidak mengikat, wasiat 1/3 kepada bukan warus adalah mengikat di sudut undang undang dan syarak. Asalkan nilai harta yang diwasiatkan tidak melebihi 1/3 pusaka maka wasiat tersebut sah dan anak angkat berhak sepenuhnya kepada harta yang diwasiatkan.

Bagaimanapun, ibubapa perlu merancang dengan baik dah memilih aset sesuai untuk diberikan untuk mengelak perselisihan kemudian hari. Contohnya sekiranya mewasiatkan sebuah rumah, lebih elok mewasiatkan keseluruhan rumah kepada anak angkat daripada sebahagian sahaja dan terpaksa berkongsi dengan waris lain sekiranya boleh.

Kaedah kedua adalah melalui hibah. Kebaikan hibah adalah ia tidak ada limitasi penerima. Maksudnya penerima boleh dikalangan waris, bukan waris malah penerima di kalangan bukan islam. Melalui hibah, akad pemberian dibuat semasa hidup tetapi pemindahan hak milik hanya berlaku selepas kematian.

Selalunya hibah yang dibuat adalah hibah ruqba demi menjaga kepentingan pemberi dan penerima. Cuma perlu diingat, berbeza dengan wasiat yang boleh dibatalkan, hibah kepada bukan waris seperti anak angkat hanya boleh ditarik balik dengan persetujuan anak angkat tersebut.

Kaedah ketiga yang boleh digunakan adalah melalui amanah. Ibu dan bapa boleh meletakkan harta kedalam amanah dan memberi arahan tertentu kepada trustee bila, berapa dan bagaimana harta amanah dibelanjakan. Uniknya amanah selain dikategorikan bukan harta, manfaatnya bukan sahaja boleh digunakan dan diberikan kepada bukan waris seperti anak angkat malah turut boleh diberikan kepada waris.

Lebih bagus, amanah juga boleh digunakan untuk kebajikan pemilik harta untuk kegunaan dihari tua bila sudah sakit atau lagi berupaya mengurus diri sendiri. Selain harta seperti hartanah dan wang tunai, dana amanah boleh diwujudkan melalui sijil takaful yang di assignkan kepada trustee.

Itulah tiga kaedah yang saya cadangkan untuk merancang harta kepada ibu bapa yang ada anak angkat. Kunci perancangan ini adalah semua perancangan ini dibuat semasa anda masih HIDUP! Selepas kematian tiada lagi perancangan dan harta akan dibahagikan mengikut faraid.

Wasiyyah Shoppe Trustee ada solusi kepada mereka yang ada anak angkat. Kalau anda berminat, saya boleh kongsikan cara cara perancangan yang berkesan demi menjaga kebajikan anak angkat. Berminat? Boleh PM saya untuk tips perancangan dan nasihat PERCUMA!




BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM...SEMOGA MENJADI MANFAAT


  • Bismillahirahmanirrahim,


Segala puji bagi Allah yang mentakdirkan terhasilnya blog ini. Setelah sekian lama berniat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada umum mengenai pengurusan dan perancangan harta pusaka, alhamdulillah akhirnya blog ini menjadi kenyataan.

Insyaallah blog BicaraPusakaKu ini akan menjadi platform perkogsian ilmu dan pengalaman yang penulis lalui dalam membantu umat islam di Malaysia merancang harta mereka.

Semoga blog ini memberi maklumat berguna dan semua pembaca mendapat manfaat daripada perkongsian dan artikel yang disediakan.

Terima kasih.


Sudahkah anda merancang harta anda?

SUDAHKAH ANDA MERANCANG? Pepatah Inggeris berbunyi, "if you fail to plan, then you are planning to fail". Dalam soal perancangan h...