Thursday, 13 February 2020

MATI TETAPI HIDUP

Dunia maya masih berbicara tentang Abam Bocey. Tentang baik budinya, pemurahnya dan taatnya sebagai seorang anak. Semoga rahmat Allah keatas rohnya.

Sebaiknya untuk kita adalah mengambil iktibar daripada kematiannya. Permergian Abam diiringi ribuan orang, jemaah yang menyolatkannya melimpahi keluar masjid. Soalnya, apakah nasib kita? Berapa ramai akan menyolatkan kita? Siapa yang akan mendoakan dan mengingati kita?

Dalam konteks pengurusan harta islam, sesungguhnya harta yang kita kumpul samada sikit atau banyak boleh menjadi rahmat kepada kita selepas kematian. Kuncinya adalah perancangan dan niat yang ikhlas.

Didalam satu hadis, Nabi SAW bersabda;
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." - hadis riwayat Muslim

Manakala didalam Al Quran, Allah menggambarkan kekecewaan manusia;

 " ...Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". - Al Munafiqoon 63:10

Daripada hadis dan ayat Al Quran ini jelas tinggi dan mulianya pahala bersedekah. Dalam hadis diatas, Nabi SAW menyebut sedekah jariah dahulu sebelum menyebut  ilmu yang diajarkan dan anak yang soleh. Mengapa? Kerana ilmu yang kita kongsi dan ajarkan belum tentu diamal dan dimanfaatkan. Anak yang kita lahirkan juga belum tentu menjadi anak soleh yang mendoakan kita. Tetapi sedekah jariah kita? asalkan ikhlas PASTI akan menjadi bekal abadi sehingga kiamat.

Ini disahkan oleh Al Quran melalui ayat 10 Surah Al Munafiqoon dimana orang yang sudah mati meminta Allah menghidupkan dia kembali, bukan untuk solat, bukan untuk berpuasa atau pergi haji tetapi untuk bersedekah! Begitulah bernilainya pahala bersedekah.

Soalnya bagaimana? Bagaimana kita hendak bersedekah dan menginfakkan harta kita? Sungguh! Sedekah terbaik adalah sekarang. Tetapi kita tidak mampu atau tidak berani untuk memberi dalam jumlah dan nilai yang besar. Takut ada keperluan dalam menjalani kehidupan, takut sakit dan takut tiada pusaka untuk anak anak. Justeru, adakah ini menjadi alasan untuk menutup peluang kita untuk mendapat ganjaran bersedekah? Tiadakah cara lain?

Disinilah kepentingan merancang harta. Melalui perancangan yang baik kita bukan sahaja dapat menjamin kebajikan keluarga yang ditinggalkan malah dapat bersedekah berterusan sehingga hari kiamat seperti mana waqaf Saidina Uthman Bin Affan yang masih ada sehingga ke hari ini!

Kita boleh mendapat ganjaran sedekah dengan perancangan harta melalui;

1. Membuat wasiat 1/3 keatas sebahagian harta kita untuk tujuan sedekah dan infaq. Boleh beri kepada masjid, sekolah, universiti, anak yatim dan keluarga sendiri(bukan waris faraid). Wasiat ini wajib ditunaikan dan bukan sebahagian daripada harta yang akan difaraidkan antara waris. Samada waris setuju atau tidak, setelah disahkan wasiat ini mengikat dari sudut syarak dan undang undang. Jaid pasti ia tertunai!

2. Mewaqafkan sebahagian harta kepada Majlis Agama Islam atau Baitulmal untuk maslahah umat islam. Tidak mahukah kita waqaf kita menjadi masjid dan pejabat seperti waqaf Ahmad Dawjee Dadaboy di Bangunan Bank Islam Jalan Sultan Ismail? Setiap jumaat menjadi tumpuan ribuan umat Islam berjumaat? Beruntungnya allahyarham.

3. Amanah. Meletakkan sijil takaful kita atau sebahagian harta kita di dalam akaun amanah untuk digunakan untuk tujuan kebajikan. Kita boleh menggunakan harta itu untuk pendidikan, perubatan dan kegunaan lain yang kita hasratkan. Kalau tak berani letak tunai letaklah sijil takaful, kesannya sama sahaja. Tak mahukah kita masih membiayai persekolah anak yatim dan cucu cicit kita walaupun kita sudah lama tiada?

Inilah antara langkah yang mesti kita lakukan untuk mendapat ganjaran seperti hadis nabi SAW dan mengelak menjadi manusia rugi seperti ayat didalam Surah Al Munafiqoon diatas.

Jangan bertangguh kerana sesungguhnya kita tidak tahu bila kita akan pergi. Rancang harta sekaran UNTUK MANFAAT DIRI SENDIRI! Janganlah kita berlaku zalim kepada diri sendiri.

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling darinya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sungguh, Kami telah menjadikan hati mereka tertutup, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka. Kendati pun engkau (Muhammad) menyuru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk untuk selama-lamanya.” (QS. Al-Kahfi: 57).

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278





No comments:

Post a Comment

Sudahkah anda merancang harta anda?

SUDAHKAH ANDA MERANCANG? Pepatah Inggeris berbunyi, "if you fail to plan, then you are planning to fail". Dalam soal perancangan h...