Bila seseorang meninggal dunia, maka waris akan mula bercakap mengenai pusaka. Rumah, kenderaan, tanah dan simpanan mesti dibahagikan dikalangan waris yang berhak. Tetapi tahukah kita, apakah yang dikategorikan sebagai harta pusaka bersih yang perlu/wajib dibahagikan mengikut faraid?
Sebenarnya, sebelum dibahagikan, beberapa langkah WAJIB diambil. Pertama, sahkan pemilikan dan ketuanpunyaan harta simati. Maksudnya, harta yang ditinggalkan mestilah disahkan milik simati secara hakiki. Mesti diasingkan harta yang dibeli/diatas nama simati tetapi sebenarnya dimiliki orang lain(guna nama), harta yang dipinjamkan kepada simati dan harta yang dipegang secara amanah oleh simati atau harta yang telah diwaqafkan simati semasa hidup.
Kedua, asingkan harta yang dihibahkan simati. Sekiranya ada aset yang telah dihibahkan simati semasa hidup, harta tersebut setelah disahkan bukan lagi termasuk didalam pusaka simati. Sebaliknya ia adalah milik penerima hibah harta tersebut secara mutlak. Sekiranya penerima hibah itu waris, hibah tersebut tidak sesekali mengurangkan bahagian faraid beliau terhadap pusaka bersih simati.
Ketiga, asingkan harta yang diwasiatkan simati. Tertakluk kepada maksima 1/3 harta milik simati, wasiat kepada bukan waris adalah sah dan mengikat disudut syarak dan undang undang. Harta yang diwasiatkan turut terkeluar daripada pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris.
Keempat, harta sepencarian. Sekiranya pasangan menuntut harta sepencarian maka mahkamah akan mengesahkan bahagian yang layak sebagai harta sepencarian. Sekiranya yang menuntut adalah isteri, maka penerimaan harta sepencarian tidak akan mengurangkan bahagian faraid isteri(1/4 tiada anak) atau (1/8 ada anak).
Kelima, selesaikan hutang simati. Segala hutang piutang simati sebaiknya dibayar menggunakan harta simati. Hutang ini termasuk hutang kepada Allah seperti nazar yang tidak ditunaikan atau zakat yang tidak dikeluarkan serta hutang kepada manusia seperti pinjaman rumah atau pinjaman pendidikan. Asalkan ia dikategorikan sebagai hutang, ia wajib dilangsaikan.
Setelah langkah langkah diatas diambil, apa yang berbaki itulah pusaka bersih simati yang tertakluk kepada faraid. Itulah yang dibahagikan kepada waris waris yang berhak.
Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9279

No comments:
Post a Comment