Sunday, 4 August 2019

Cerita Pusaka: Anak Solehah. Antara menjaga hati Ibu dan hak nenek..bhgn 1

Sebulan yang lalu saya dihubungi seorang wanita bertanyakan bahagian faraid arwah bapa beliau. Arwah meninggal dunia setelah terlibat kemalangan jalan raya.

Beliau juga bertanyakan hak keatas KWSP arwah dan apakah ibunya sebagai penama pemilik mutlak wang tersebut.

Saya jelaskan sebaik mungkin dan diakhir perbincangan saya doakan pengakhiran yang baik untuk keluarga ini.

Petang tadi selepas mengambil anak di sekolah telefon berbunyi. Saya lihat nombor tidak dikenali memberi salam kemudian memperkenalkan diri. Setelah beliau bercerita barulah saya ingat beliau orang yang sama menghubungi saya sebulan lalu.

Kata beliau "Encik, sekarang keluarga dah ada masalah". "Emak berkeras tidak mahu memberi bahagian pusaka nenek kerana menurut beliau wang KWSP tersebut adalah milik beliau kerana beliau adalah penama".

Malah awalnya, emak si penanya mahukan keseluruhan wang untuk dirinya seorang dan hanya bersetuju memberi kepada waris lain sagu hati atas ehsan beliau, hak beliau katanya! Selepas berbincang, si emak akhirnya bersetuju untuk memberi hak anak anak tetapi masih enggan memberi bahagian mertua. Maka berselisihlah keluarga ini!

Tambah pilu bila Puan X beritahu "mak berkeras sebab dia kata dia dah tanya imam dan imam kata kalau ada anak lelaki mak dan ayah tak berhak". " Kami dah jumpa ustaz yang lain dan dia kata nenek ada hak tapi mak tak mahu berganjak juga".

Sebagai anak, wanita ini tersepit! Beliau mahu menjaga hati emaknya dan pada masa yang sama memastikan keadilan kepada nenek selain hak adik yang masih kecil.

"Saya tidak mahupun bahagian saya Encik. Saya cuma kasihan kepada nenek dan mahu pastikan adik yang kecil itu mendapat haknya". "Tapi saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada emak supaya dia faham dan tidak marahkan kami adik beradik".

Tersepit! Itulah keadaan Puan X. Dia faham hukum syarak berkenaan faraid tetapi tidak berupaya meyakinkan ibunya bahawa mengambil hak orang lain adalah haram dan berdosa.

Keadaan ini mungkin dialami oleh banyak lagi keluarga muslim di luar sana. Berapa ramai waris yang dengan berat hati menurut pembahagian arwah ibu dan ayah kerana itulah "wasiat" arwah. Berapa ramai pula yang memakan hak orang lain tanpa sedar. Bukan sahaja KWSP malah harta harta lain yang kita miliki.

Disinilah kepentingan ilmu. Bukan sahaja kepada waris tetapi kepada pemilik harta termasuk ibu dan ayah. Ketahuilah hukum Allah berkaitan pusaka sebelum merancang pembahagian harta anda. Insyaallah dengan ilmu dan kemudian perancangan harta yang ditinggalkan menjadi barakah bukan fitnah!

P/S : saya akan kongsikan langkah langkah mengelak masalah seperti cerita di atas pada post yang lain.

Mohd Khairuddin
Perunding
019 339 9278

No comments:

Post a Comment

Sudahkah anda merancang harta anda?

SUDAHKAH ANDA MERANCANG? Pepatah Inggeris berbunyi, "if you fail to plan, then you are planning to fail". Dalam soal perancangan h...