Sunday, 29 September 2019

Buat Pemegang Amanah Pejabat Tanah, boleh ke?

Memang benar anda boleh membuat pemegang amanah di Pejabat Tanah untuk hartanah yang anda miliki. Selepas didaftarkan, pemilikan di dalam geran akan tertera nama anda tetapi sebagai pemegang amanah untuk orang lain, isteri misalnya.

Rata rata yang megambil langkah ini beralasan bahawa sekiranya beliau meninggal dunia, tanah tersebut menjadi hak si isteri tanah perlu melalui urusan faraid.

Benar. Ini kerana hak milik tanah telah menjadi hak isteri dengan pengisytiharan amanah tersebut. Sekiranya tanah itu milikan tunggal(anda pemilik) dan anda membuat pengisytiharan amanah, niat untuk memudahkan isteri akan tercapai.

Namun begitu ada keadaan yang saya jumpa hartanah pemilikan bersama turun dilakukan perkara serupa. Suami mengisytiharkan beliau memegang bahagian beliau sebagai oemegang amanah bagi pihak isteri dan isteri melakukan perkara sama bagi pihak suami.

Dalam keadaan ini daripada sudut hukum dan undang undang sebenarnya menjadikan masalah lebih rumit.
Contohnya, selepas kematian suami bahagian isteri(asalnya milik suami)yang beliau pegang menjadi hak isteri. Ini tiada masalah.

Masalahnya ialah, apa status bahagian suami(yang dipegang secara amanah) oleh isteri? Dari sudut hukum ia adalah milik suami justeru menjadi pusaka simati dan tertakluk kepada faraid.

Dalam situasi ini jelas melakukan amanah sedemikian rupa tidak menyelesaikan masalah, malah mungkin lebih merumitkannya. Jadi, amat perlu fahami kesan setiap tindakan yang diambil bila melibatkan harta. Hanya kerana ia dilakukan orang, tidak bermakna ia langkah yang betul.

Soalnya, apakah cara terbaik?
Pada pendapat saya cara terbaik untuk pasangan dalam contoh diatas adalah dengan melakukan hibah hartanah ruqba. Suami hibah kepada isteri dan isteri hibah kepada suami. Sekiranya salah seorang meninggal dunia bahagian si pemberi adalah milik penerima. Simati pula tidaklah menerima hibah isterinya kerana syarat ruqba ialah sekiranya penerima meninggal terlebih dahulu maka harta yang dihibahkan kembali kepada si pemberi yakni isteri.

Hasilnya, pemilikan selepas kematian adalah pemilikan tunggal dan hibah setelah disahkan tidak tertakluk kepada pusaka dan faraid.
Bukankah cara ini lebih berkesan?

Mohd Khairuddin M Daud
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278

Friday, 20 September 2019

GOLONGAN KRITIKAL DALAM PENGURUSAN DAN PERANCANGAN HARTA.

Umumnya, semua yang hidup dan mempunyai harta samada banyak atau sikit perlu membuat perancangan harta. Pun begitu, terdapat 9 golongan yang lebih utama dan kritikal yang mesti merancang harta mereka.

Sembilan golongan ini adalah;

1. Pasangan yang tiada anak
2. Pasangan yang tiada anak lelaki
3. Pasangan yang mempunyai anak istimewa
4. Pasangan yang mempunyai anak angkat
5. Individu bujang
6. Individu berpoligami
7. Individu yang berkahwin semula
8. Individu muallaf
9. Individu yang mempunyai hasrat tertentu terhadap harta.

Hari ni saya nak share mengenai 1) Pasangan Tiada Anak sahaja.

BAHAGIAN FARAID
Untuk pasangan yang tiada anak, waris asas faraid adalah suami/isteri, ayah dan ibu.

Suami - 1/2
Isteri - 1/4
Ibu - 1/6
Ayah - Baki

Sekiranya semasa kematian ayah sudah tiada ,waris tambahan iaitu datuk seterusnya adik beradik simati turut mempunyai hak. Seterusnya sekiranya adik beradik lelaki sudah tiada, anak saudara lelaki kepada adik lelaki turut masuk kedalam ahli faraid. Sekiranya tiada anak saudara, maka bapa saudara dan seterusnya sepupu lelaki juga akan masuk menjadi ahli waris.

Bayangkan rumitnya. Orang selalu berkata, "faraid kan ada?". Betul, faraid memang ada tetapi persoalannya, tahukah kita siapa ahli faraid dan bahagiannya? Semua harta akan dibahagikan mengikut bahagian tersebut. Kalau duit ringgit mudahlah dibahagikan, tetap bagaimana pula rumah dan tanah yang tidak boleh dicerai asingkan? Maka wujudlah pemilikan bersama dimana nama waris yang lain akan dimasukkan kedalam geran. 

KESULITAN KEPADA PASANGAN

Sebagai suami isteri, dewasa ini menjadi kebiasaan kita berkongsi tanggungjawab kewangan keluarga. Rumah mungkin dibeli bersama, bayar pon bersama.

Begitu juga tanah, kereta dan sebagainya. Selepas ketiadaan pasangan hutang mungkin masih berbaki dan kalaupun bahagian pasangan yang mati dilindungi MRTA, pindah milik masih belum boleh dilakukan. Kenapa? kerana pemilikan belum sempurna. Hutang bahagian pasangan yang masih hidup masih belum selesai.

Mahkamah akan mencatit pembahagaian dan memerintah ulang bicara selepas pinjaman diselesaikan. Maksudnya, rumah sudah ada pemilik bersama yang lain contohnya ibu dan yah mertua, mungkin juga adik beradik pasangan, tetapi hutang berbaki kita yang bayar. Dan dalam konteks pasangan tiada anak, bahagian faraid waris lain lebih besar dari bahagian isteri. Natijahnya, kita mendiami rumah orang lain walaupun asalnya ia milik kita!

APA PILIHAN KITA?

Untuk memudahkan pasangan kita dan juga waris yang lain, lantik badan profesional seperti kami di Wasiyyah Shoppe untuk membantu menguruskan tuntutan pusaka. Ia akan memudahkan urusan tuntutan, lebih cepat dan jauh lebih murah.

Untuk aset tidak alih seperti rumah yang sangat kritikal, buatlah hibah kepada pasangan. Suami hibah kepada isteri dan begitulah juga sebaliknya. Ia akan menyelesaikan malalah pemilikan bersama yang rumit dan mungkin sukar diselesaikan, tambahan pula jika itu sahaja harta yang bernilai.

Untuk manfaat kita diakhirat, buatlah sedekah dan wakaf melalui wasiat 1/3. Wasiat ini diberi kepada bukan waris dan ia mengikat dari sudut undang undang, tetapi ia mesti dilakukan semasa kita masih hidup.

KESIMPULAN

Jangan memandang mudah urusan pusaka. Ia perlu perancangan dan pengurusan yang teliti sekiranya kita mahu ia menjadi manfaat bukan fitnah kepada waris. Sekiranya dirancang dengan baik, akhirnya yang mendapat keuntungan adalah kita dihadapan Allah kelak. Gagal, kita juga akan dipertanggungjawabkan kelak.





Mohd Khairuddin M Daud
Perunding Harta, Pusaka dan Hibah
Wasiyyah Shoppe Berhad
019-3399278

Sunday, 15 September 2019

Apakah Maksud Faraid dan Berapakah Bahagian Faraid Isteri?

Ramai pernah dengar FARAID tapi tahukah apa maksud faraid?

Perkataan Faraid bermaksud menentukan atau memastikan. Di suduk syarak pula faraid bermaksud pembahagian harta seorang muslim yang telah meninggal dunia kepada waris warinya samada beliau meninggalkan wasiat ataupun tidak.

Jelas disini FARAID adalah hukum tertinggi dalam pembahagian harta islam sekiranya simati TIDAK membuat apa apa perancangan semasa hidup. Maka, mengikut faraid bahagian waris seperti pasangan, anak lelaki, anak perempuan, ibu dah ayah telah ditentukan secara jelas oleh syarak. Hak keatas faraid ini tidak terhalang sekalipun simati ada membuat wasiat untuk memberi bahagian atau harta tertentu kepada waris dan telah mendapatkan persetujuan waris lain semasa hidupnya.

Berapakah bahagian faraid seorang isteri?

Sekiranya simati mempunyai anak maka bahagian isteri adalah 1/8. Sekiranya simati tiada anak maka bahagian isteri adalah 1/4.

Persoalannya, adakah isteri berhak keatas lebihan harta selain dari bahagian faraid beliau? Ya dan Tidak.

Ya, sekiranya si suami ada melakukan hibah harta kepada isterinya semasa hidup ataupun membuat pengisytiharan harta sepencarian bersama isterinya.

Tidak, jika suami tidak membuat apa apa perancangan harta seperti hibah, amanah atau pengisytiharan harta sepencarian. Pun begitu, si isteri masih boleh membuat tuntutan harta sepencarian kepada mahkamah dan hakim akan menentukan sekiranya tuntutan tersebut sah seterusnya memberikan bahagian yang dikira sesuai.

Jadi, untuk menjamin kepentingan isteri, adalah disarankan supaya suami membuat hibah harta kepada isteri sekiranya perlu. Hibah dibuat keatas aset seperti rumah yang didiami isteri contohnya dapat mengelakkan isteri kehilangan tempat berteduh dan memberikan ketenangan jiwa kepada isteri bajawa beliau tidak perlu berkongsi rumah dengan mertua ataupun ipar.

Kesimpulannya, faraid menjamin hak seorang isteri namun sekiranya kita merasakan isteri perlu lebih bahagian daripada harta maka perancangan seperti hibah dan amanah perlu dilakukan.

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278 
 

Saturday, 14 September 2019

HUKUM FARAID SELESAIKAN MASALAH HARTA PUSAKA?

Tak perlu susah susah, faraid kan ada!

Adakah anda berfikiran begini? Jika ya anda perlu terus membaca artikel ini. Pada bahagaian pertama saya akan sentuh sudut hukum manakala pada post akan datang saya akan ulas sudut perlaksanaan dan undang undang.

Benar, faraid disyariatkan sebagai cara pembahagian pusaka seorang muslim. Tetapi berlawanan dengan kefahaman umum ia bukanlah cara tunggal pembahagian pusaka. Sebaliknya didalam hierarki penyelesaian pusaka, faraid adalah di kedudukan terakhir pembahagian pusaka yakni selepas ditolak kos pengebumian, hutang, hibah, wasiat 1/3 dan harta sepencarian. Sekiranya selepas ditolak semua ini harta masih berbaki, barulah faraid dilaksanakan. 

Faraid terpakai selepas kematian. Suka tak suka penerima dan bahagian masing masing telah ditentukan Al Quran dengan jelas. Pemilik harta tidak perlu melakukan apa apa untuk faraid ini berkuatkuasa.

Sebaliknya, hibah, wasiat 1/3 dan waqaf mesti dilakukan semasa hidupnya pemilik harta. Ia mestilah dibuat dengan rela hati dan tanpa unsur paksaan daripada mana mana pihak. Walaupun lafaz pemberian dilakukan semasa hidup, pindah milik harta hanya berlaku selepas kematian. Kalaupun waris membantah, sekiranya rukun rukunnya ditepati pemberian tersebut adalah sah dan mengikat di sudut undang undang.

Jadi, sekiranya kita mempunya hasrat tertentu seperti ingin memberi lebih daripada bahagian faraid kepada isteri atau ingin memberi secara sama rata dikalangan anak lelaki dan perempuan HIBAH adalah pilihan yang tepat. Ini kerana bahagian asal faraid isteri hanya 1/8 sahaja manakala bahagian anak lelaki adalah sekali ganda anak perempuan. 

Berlainan pula sekiranya hendak memberi harta kepada bukan waris seperti adik beradik(sekiranya ada anak lelaki) atau anak angkat atau ahli keluarga berlainan agama. Selain hibah kita boleh guna wasiat 1/3 untuk tujuan memberi harta kepada mereka. Sekali lagi selepas disahkan mahkamah, wasiat ini mengikat di sudut undang undang. Tanpa wasiat, maka tiadalah harta yang dapat diwarsi anak angkat atau ibu bapa berlainan agama tak sesayang manapun kita kepada mereka.

Kesimpulannya.

1. Faraid adalah hukum pembahagian keatas baki harta setelah ditolak hutang, hibah, wasiat, waqaf dan amanah.

2. Faraid adalah hukum muktamad keatas pusaka dan mesti diikuti melainkan waris bersetuju untuk pembahagian secara muafakat.

3. Sekiranya ada hasrat pembahagian lain selain faraid, pemilik harta mesti melakukan perancangan harta semasa hidup seperti hibah dan wasiat.

Insyaallah dalam bahagian kedua saya akan terangkan kenapa di sudut perlaksanaan dan undang undang, faraid tidak selesaikan tuntutan pusaka.


Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee


019 339 9278

Monday, 2 September 2019

ADAKAH FARAID TIDAK ADIL KEPADA WANITA?

Dalam taklimat saya, ketika appointment dan perbincangan bersama pelanggan kadang kadang terhambur kata kata yang secara tidak langsung dan tanpa sedar oleh pelanggan dan mungkin saya sendiri yang memberi gambaran kurang baik kepada FARAID.

Justeru, untuk rekod dan maklumat bersama saya tegaskan;

1. Faraid adalah pembahagian paling adil untuk harta pusaka.

2. Tiada kesalahan atau malu untuk waris memilih faraid(kerana takut dituduh tamak dan sebagainya).

Faraid itu baik dan adil bukan hanya kerana ia perintah Allah di dalam  Al Quran Surah An Nisa 11, 12 dan 176. Lebih daripada itu, ia memang aturan paling adil untuk manusia dan ia logik dan sesuai dengan sifat kita.

Perlu kita fahami bahawa faraid berkuatkuasa hanya keatas pusaka. Maksudnya, setelah ditolak hak lain(hutang, amanah, wasiat, hibah) barulah faraid terlaksana. Faraid menjamin hak waris lelaki dan perempuan. Ya, hak waris perempuan dijamin faraid tidak seperti sebelum Islam dimana waris perempuan tiada hak langsung keatas harta pusaka.

Yang selalu dibangkitkan adalah kenapa waris lelaki(anak lelaki) mendapat sekali ganda lebih daripada anak perempuan. Ini tidak adil kata sesetengah golongan. Nampak logik juga sepintas lalu. Bila diselami, barulah kita faham si lelaki walaupun mendapat 100% lebih, dia menerima secara kasar. Maksudnya, waris lelaki menerima bersama TANGGUNGJAWAP! Di bahu beliau terbeban tanggungjawap kepada ibu, nenek, saudara perempuan dan adik adik bawah umur dan keluarga secara amnya meliputi makan minum, pendidikan, tempat berteduh dan perlindungan. Justeru, agama memberi beliau lebih hak tetapi tanggungjawap yang datang bersama adalah maha berat, di dunia dan di akhirat.

Waris perempuan pula, walaupun mendapat 100% kurang tetapi beliau terima secara bersih. Maksudnya, dia tidak ada sebarang tanggungjawap untuk orang lain melainkan semua harta yang diwarisi milik beliau seorang! Selalu saya sebut di dalam taklimat, "nak beli kasut dan beg sampai habis harta tu pun tak salah" walaupun ia tindakan kurang bijak. Jadi waris perempuan terlepas daripada tanggungjawap dunia dan akhirat! Bukankah ini adil?

Selalunya, saya akan diasak lagi. Kata mereka, si lelaki hanya ambil separuh, terima harta tetapi melepaskan tanggungjawap. Benar, saya setuju kadang kadang ini berlaku, tidak dapat dinafikan. Malah setelah diperintah oleh mahkamah pun ada yang masih degil. Jawapan saya mudah, sekiranya itu yang dilakukan waris lelaki(melepaskan tanggungjawap), maka bersedialah dia menerima keadilan hakiki di hadapan Rabbul Jalil yang maha adil nanti. Pasti! keadilan tertegak pada masa itu.

Mendepani keadaan semasa, memang ada keperluan untuk merancang harta. Soalnya adakah agama Islam memberi penyelesaian? Jawapannya, sudah pasti!

Seperti yang saya sebut diawal tadi, FARAID berkuatkuasa hanya keatas PUSAKA. Bahasa kasarnya, bolehlah saya kata, kepada yang malas ambil pusing perihal harta, nasib diri sendiri dan keluarga, agama ini memberi aturan bagaimana pusaka beliau akan dibahagikan selepas kematian. Tanpa faraid, mana mungkin pusaka harta dibahagi? Lagi huru hara waris berebut malah mungkin yang kuat dan berkuasa memonopoli semuanya. Maka, faraid menjadi hikmah untuk mendamaikan waris dengan ketentuan Allah.

Kepada yang bertanggungjawap pula, insaf akan tanggungjawap beliau sebagai ketua keluarga misalnya. Tahu bahawa ada hak dan keperluan tertentu yang perlu dipenuhi demi menjamin kebajikan waris dan orang tersayang, agama ini memberi solusi melalui hibah, wasiat 1/3, amanah dan waqaf. Kuncinya adalah, ia perlu dilakukan SEMASA HIDUP!

Buatlah hibah untuk beri harta kepada waris dengan niat dan tujuan baik, berwasiat 1/3 lah untuk beri kepada bukan waris seperti (sahabat, anak angkat, anak tiri, ibubapa/saudara berlainan agama), buatlah amanah untuk mencapai hasrat tertentu seperti pendidikan anak dan keperluan perubatan dan waqaflah harta untuk pahala untuk diri sendiri. Begitulah cantiknya agama ini.

Sabda Nabi SAW " Salinglah memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai", HR Bukhari. Maka itu tujuan kita merancang harta BUKAN untuk melarikan harta daripada FARAID. Sebaliknya, kita merancang harta melalui hibah, wasiat 1/3 dan sebagainya demi niat yang suci lagi baik untuk kepentingan diri, waris dan ummah.

Kita hibah rumah demi memastikan anak dan isteri ada tempat berteduh sekiranya kita tiada. Kita wasiatkan harta kepada anak angkat kerana kasih sayang dan tahu beliau tiada hak keatas faraid, justeru boleh menerima wasiat. Kita waqaf harta kerana tahu ia adalah amal sedekah yang memberi ganjaran pahala kepada diri sendiri hingga hari pengadilan. Itulah ajaran ISLAM, yang sebaliknya.

Jadi, buatlah hibah kerana ia sunnah bukan kerana nak elak faraid.
Buatlah wasiat 1/3, waqaf dan amanah keran ia juga anjuran agama.

Tak mahu, boleh sahaja, FARAID akan memberi kepada waris seadilnya.
Tepuk dada tanya akal.

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan memberi panduan kepada saya supaya beramanah dalam menyampaikan ILMU. Aamiin.

Sudahkah anda merancang harta anda?

SUDAHKAH ANDA MERANCANG? Pepatah Inggeris berbunyi, "if you fail to plan, then you are planning to fail". Dalam soal perancangan h...