Wednesday, 7 August 2019

Awas! Isteri bukan pemilik tunggal KWSP walaupun diletakkan sebagai penama!

Pada post yang lalu, saya kupas penamaan Tabung Haji. Pada post kali ini kita kongsi pula fakta tentang KWSP.

Ramai dah buat penamaan KWSP tapi majoriti masih tak betul betul faham maksudnya. Anda bagaimana?

Mengikut Akta KWSP 1991, penama KWSP adalah dan hanyalah pemegang amanah kepada simpanan simati. Sekiranya penama itu salah seorang waris faraid maka beliau hanya berhak keatas bahagian beliau SAHAJA!

Contohnya, sekiranya seorang isteri diletakkan sebagai penama, haknya adalah 1/4 jika suami tiada anak dan 1/8 jika suami ada anak(bekas isteri atau isteri sekarang). Barang diingat, tiada harta sepencarian boleh dituntut daripada simpanan KWSP dan ini ditegaskan oleh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jadi, selepas diambil bahagian isteri(1/4 atau 1/8), selebihnya adalah milik ibu dan ayah(1/6 setiap seorang) dan baki kepada anak anak. Ya, bahagian anak anak sepatutnya tidak dibelanjakan dan diserahkan kepada anak anak selepas mereka cukup umur.

Begitu juga jika penama adalah ibu. Ibu mertua hanya berhak keatas bahagian faraid ibu 1/3 atau 1/6 bergantung kepada susunan waris faraid manakala selebihnya adalah milik menantu dan cucu. Tidak boleh malah haram ibu mertua menidakkan hak menantu dengan alasan baru sahaja kahwin atau menantu ada kerja dan sebagainya. Hak faraid adalah mutlak dan menantu berhak keaatas bahagian faraid beliau.

Saya ditanya, bolehkah KWSP dibuat hibah?

Jawapannya tidak boleh. Penjelasan panjang akan dibuat di post yang lain. Nak tahu sekarang, PM saya.

Saya ditanya lagi, mana lebih baik letak penama atau tidak?

Asasnya, meletakkan penama memberikan banyak kelebihan. Antaranya, duit akan diperolehi tanpa keperluan kepada surat kuasa dan bicara dalam tempoh yang sangat cepat. Tambah pula tiada sebarang kos yang akan dikenakan dan ia juga tidak akan dicukai kerajaan.

Namun begitu, sekiranya penama tidak tahu dan faham tanggungjawapnya, boleh saja duit itu dibolot seorang sahaja dan menafikan hak waris yang lain. Bukan jarang kita mendengar mertua bolot KWSP atau isteri larikan KWSP tanpa memberikan bahagian waris faraid yang lain.

Pada pandangan saya, kitalah yang terbaik dalam membuat pilhan kerana kita jualah yang lebih mengenali ahli keluarga kita dan mengetahui keadaan kewangan keluarga. Kepada yang merasakan waris mampu(untuk meneruskan belanja kehidupan) mungkin pilihan terbaik adalah dibiarkan kosong penamaan dan duit ditadbir melalui tuntutan pusaka, maka tiada pihak yang akan dinafikan bahagiannya.
 
Kepada yang merasakan anak isteri mungkin memerlukan, mungkin isteri patut diletakkan sebagai penama supaya keluarga tidak hilang punca. Pada masa sama perlu jelaskan kepada isteri tanggungjawap beliau dan hak ibu dan ayah mertua keatas faraid. Tepuk dada tanya keyakinan!

Cadangan saya?
Saya mencadangkan, apapun pilihan penamaan KWSP anda, lantiklah organisasi professional untuk membantu waris menguruskan tuntutan pusaka anda. Bukan sahaja KWSP tapi rumah, tanah, simpanan bank, unit amanah, Tabung Haji dan lain lain.
Kenapa? Kerana bila diuruskan oleh pakar, urusan akan menjadi mudah, cepat, teratur dan memberikan kebaikan kepada simati dan juga waris tanpa salah faham dan masalah.

Wasiyyah Shoppe Trustee adalah salah satu satunya syarikat amanah yang memberikan khidmat pengurusan dan perancangan harta dan pusaka secara syariah dan menurut proses undanf undang!


Mohd Khairudin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278










Tuesday, 6 August 2019

DUIT TABUNG HAJI BUKAN MILIK MUTLAK PENAMA TAU!


Seorang balu bergaduh dengan mertua berebutkan duit Tabung Haji arwah suami. Si ibu mertua bertanyakan kepada saya samada benar atau tidak beliau dan suami tidak berhak keatas simpanan tersebut.

"Menantu cakap arwah anak namakan dia sebagai penama, jadi duit tu hak dia. Kalau dia nak bagi atas ehsan dia sahaja. Betul ke encik?" soal beliau.

"Menantu cakap saya hanya ada bahagian keatas pusaka, sebab tabung haji arwah anak dah namakan menantu sebagai penama jadi bukan harta pusaka dia kata. Betul ke?" tambah beliau.

Berapa ramai masih keliru perihal status simpanan Tabung Haji? Berapa ramai lagi yang masih juga tak faham status penamaan Tabung Haji?

Untuk makluman bersama, saya jelaskan supaya tiada lagi salah faham.

Pertama, semua simpanan termasuk duit di Tabung Haji adalah pusaka dan tertakluk kepada faraid(setelah ditolak hutang, wasiat 1/3 dsb).

Kedua, penama Tabung Haji hanyalah pemegang amanah dan BUKAN pemilik mutlak simpanan. Simpanan mesti dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut faraid.

Ada yang jawap, "kalau begitu baik tak payah ada penama!"

Sebenarnya, penamaan adalah untuk kemudahan waris. Tabung Haji membenarkan penamaan supaya waris yang mungkin memerlukan mudah tunai dapat memperolehi duit dengan segera untuk keperluan mendesak tanpa memerlukan surat kuasa. Apa yang perlu adalah pemegang amanah mentadbir dan menguruskan duit itu dengan penuh amanah.

Selain itu penamaan juga mengurangkan kos tuntutan pusaka selain proses yang jauh lebih pantas dan mudah. Ditangan pemegang amanahyang baik, mudahlah urusan dan bahagialah waris. Masalahnya, ditangan penama yang khianat duit itu mungkin disalahguna dan waris berhak tidak mendapat bahagian mereka.

Ada ke cara lain selain penamaan untuk Tabung Haji?

Ada. Selain dibiarkan tanpa penamaan dan diletakkan penama, pemilik simpanan Tabung Haji boleh membuat hibah Tabung Haji.

Melalui hibah, pemilik boleh memberikan simpanan kepada sesiapa sahaja yang dihajati. Kerana harta yang dihibahkan bukan pusaka maka penerima hibah Tabung Haji adalah penerima mutlak dan berhak sepenuhnya keatas wang tersebut.

Nak tahu bagaimana nak buat hibah Tabung Haji?


Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278






Sunday, 4 August 2019

Cerita Pusaka: Anak Solehah...bhgn 2

Dalam post sebelum ni, saja janji utk berkongsi langkah perlu untuk mengelakkan masalah perebutan harta selepas kematian, terutamanya KWSP.

Mengapa KWSP? Kerana dikalangan umat islam Malaysia, KWSP adalah tunai terbanyak yang ditinggalkan simati. Tak percaya, tengok diri sendiri dan keluarga terdekat.

Ya, KWSP menyediakan kemudahan penamaan tetapi anda mesti tahu apakah fungsinya dan bagaimana ia beroperasi.

1. Penamaan diadakan untuk memudahkan pengeluaran dan tunai kepada waris tetapi penama BUKAN pemilik!

2. Penama hanya seorang pentadbir sahaja.

3. Wang KWSP adalah pusaka yang wajib dibahagikan mengikut faraid.

Saya mencadangkan yang berikut;

1. Sekiranya meletakkan penama, pastikan penama faham hak dan tanggungjawap beliau.

2. Beritahu penama dan waris yang lain perihal penamaan dan hak waris yang lain untuk mengelak salahfaham dikemudian hari.

3. Sekiranya khuatir penama tidak amanah, boleh letak penamaan bersama mengikut kadar tertentu(mereka masih menerima sebagai pentadbir).

4. Sekiranya tiada penama diyakini, boleh juga melantik Amanah Raya sebagai pentadbir. Cuma ada kos yang dikenakan pihak ARB dan kos akan dipotong daripada wang KWSP anda.

5. Anda juga boleh membiarkan KWSP anda tanpa penama. Dengan cara ini waris perlu mendapatkan surat kuasa samada dari Pejabat Pesaka Kecil, ARB atau mahkamah tinggi sebelum wang KWSP dapat dicairkan.

Jadi meletak penama ada kelebihan dan kekurangan, begitu juga dengan membiarkan KWSP tanpa penama.

Paling penting anda perlu tahu situasi anda dan keluarga seterusnya membuat perancangan SEKARANG semasa masih hidup. Dengan perancangan, insyaallah wang KWSP anda akan menjadi barakah dan menjadi bekal di akhirat.

Nak tahu bagaimana nak rancang? Nak elak kos tinggi dipotong daripada KWSP anda? Jom bincang!!!

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 33 99278

Cerita Pusaka: Anak Solehah. Antara menjaga hati Ibu dan hak nenek..bhgn 1

Sebulan yang lalu saya dihubungi seorang wanita bertanyakan bahagian faraid arwah bapa beliau. Arwah meninggal dunia setelah terlibat kemalangan jalan raya.

Beliau juga bertanyakan hak keatas KWSP arwah dan apakah ibunya sebagai penama pemilik mutlak wang tersebut.

Saya jelaskan sebaik mungkin dan diakhir perbincangan saya doakan pengakhiran yang baik untuk keluarga ini.

Petang tadi selepas mengambil anak di sekolah telefon berbunyi. Saya lihat nombor tidak dikenali memberi salam kemudian memperkenalkan diri. Setelah beliau bercerita barulah saya ingat beliau orang yang sama menghubungi saya sebulan lalu.

Kata beliau "Encik, sekarang keluarga dah ada masalah". "Emak berkeras tidak mahu memberi bahagian pusaka nenek kerana menurut beliau wang KWSP tersebut adalah milik beliau kerana beliau adalah penama".

Malah awalnya, emak si penanya mahukan keseluruhan wang untuk dirinya seorang dan hanya bersetuju memberi kepada waris lain sagu hati atas ehsan beliau, hak beliau katanya! Selepas berbincang, si emak akhirnya bersetuju untuk memberi hak anak anak tetapi masih enggan memberi bahagian mertua. Maka berselisihlah keluarga ini!

Tambah pilu bila Puan X beritahu "mak berkeras sebab dia kata dia dah tanya imam dan imam kata kalau ada anak lelaki mak dan ayah tak berhak". " Kami dah jumpa ustaz yang lain dan dia kata nenek ada hak tapi mak tak mahu berganjak juga".

Sebagai anak, wanita ini tersepit! Beliau mahu menjaga hati emaknya dan pada masa yang sama memastikan keadilan kepada nenek selain hak adik yang masih kecil.

"Saya tidak mahupun bahagian saya Encik. Saya cuma kasihan kepada nenek dan mahu pastikan adik yang kecil itu mendapat haknya". "Tapi saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada emak supaya dia faham dan tidak marahkan kami adik beradik".

Tersepit! Itulah keadaan Puan X. Dia faham hukum syarak berkenaan faraid tetapi tidak berupaya meyakinkan ibunya bahawa mengambil hak orang lain adalah haram dan berdosa.

Keadaan ini mungkin dialami oleh banyak lagi keluarga muslim di luar sana. Berapa ramai waris yang dengan berat hati menurut pembahagian arwah ibu dan ayah kerana itulah "wasiat" arwah. Berapa ramai pula yang memakan hak orang lain tanpa sedar. Bukan sahaja KWSP malah harta harta lain yang kita miliki.

Disinilah kepentingan ilmu. Bukan sahaja kepada waris tetapi kepada pemilik harta termasuk ibu dan ayah. Ketahuilah hukum Allah berkaitan pusaka sebelum merancang pembahagian harta anda. Insyaallah dengan ilmu dan kemudian perancangan harta yang ditinggalkan menjadi barakah bukan fitnah!

P/S : saya akan kongsikan langkah langkah mengelak masalah seperti cerita di atas pada post yang lain.

Mohd Khairuddin
Perunding
019 339 9278

Saturday, 3 August 2019

YANG JELAS DAN KURANG JELAS TAPI KEDUANYA HARAM

Kita selalu alpa. Kita jijik dengan babi kerana daripada kecil diterapkan bahawa ia jijik dan kotor.

Malangnya kita tidak diasuh bahawa memakan hak orang lain itu lebih berat dosanya. Memakan babi hanya berdosa dengan Allah tapi memakan harta orang lain berdosa dengan manusia yang selagi tidak dihalalkan tidak diampun dosanya oleh Allah.

Elakkan diri dan keluarga daripada mengambil hak orang lain. Dalam urusan harta pusaka, mengambil hak orang lain adalah HARAM dan ia akan dibebankan ketas kita kelak.

Elakkan daripada menjadi muflis di akhirat. Rancang harta anda!

LETAK PENAMA ATAU TIDAK?

Ramai tanya saya, patut letak penama ke tidak? Ni untuk Tabung Haji dan KWSP lah ye. Akaun bank mana boleh letak penama.😁

Jadi sebelum pilih kita kenalah tahu apa akibat atau kesan tindakan kita tu, betul? Ambil tindakan tanpa tahu kesannya adalah tindakan yang kurang bijak malah semberono.

Kenapa saya kata demikian? Sebab setiap kaedah atau pilihan mestilah disesuaikan dengan hasrat dan keinginan asal, barulah tercapai matlamat.

Jadi ini maklumat yang perlu anda hadam sebelum pilih untuk membuat penamaan atau tidak. Mungkin penamaan sesuai untuk anda dan mungkin juga tiada penamaan lebih sesuai.

ADA PENAMA

1. Penama hanya pentadbir(bukan pemilik) tetapi beliau akan menerima duit anda.

2. Duit KWSP dan Tabung Haji tertakluk faraid dan pentadbir WAJIB agihkan kepada waris mengikut faraid.

3. Dengan penamaan tiada keperluan kepada Surat Kuasa Mentadbir atau Probate. Jadi proses pengeluaran adalah mudah dan cepat.

4. Tiada kos pemprosesan dikenakan pihak KWSP dan Tabung Haji kepada penama untuk membuat pengeluaran.

TIADA PENAMA

1. Pentadbir dilantik semasa bicara.

2. Pentadbir dilantik akan menerima wang dan WAJIB bahagikan mengikut faraid.

3. Pejabat Pesaka Kecil/Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan surat kuasa menamakan Pentadbir. Pengeluaran tidak dapat dibuat selagi tiada pentadbir dan surat kuasa.

4. Kos pengurusan akan dikenakan bergantung kepada nilai simpanan. Kos ditolak daripada simpanan simati atau dibayar waris.

Tepuk dada tanya hati.

Kalau yakin waris amanah, boleh lantik penama. Kalau tak yakin boleh biar kosong.

Saya? Saya percaya isteri saya. Saya letak dia sebagai penama. Dia pun letak saya sebagai penama. Tujuannya, ia mudah dan cepat dan tiada kos. Insyaallah bahagian waris lain diberi kepada yang berhak!

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278

Friday, 2 August 2019

Harta Semua Orang Nak Tapi Hutang Siapa Sanggup Bayarkan?

Ayat paling panjang didalam Al Quran adalah berkenaan hutang! Allah berpesan supaya orang yang berhutang mencatat hutangnya, mengadakan saksi dan saksi pula mestilah menjadi saksi yang amanah bila diminta. Itulah ayat Al Baqarah 2:282.

Riwayat Hadis pula menceritakan bahawa Nabi SAW bertanyakan perihal hutang setiap mayat yang hendak disembahyangkan baginda. Sekiranya ada hutang, Nabi SAW bertanyakan pula adakah harta yang ditinggalkan simati untuk melangsaikannya. Sekiranya ada, hutang dibayar dan Nabi SAW akan menyembahyangkan simati. Sekiranya tiada, Nabi SAW meminta sahabat yang lain menyembahyangkan simati dan Nabi SAW akan berlalu pergi.

Kedua dua perkara diatas menekankan betapa penting hutang dilangsaikan. Ia iaitu HUTANG tanggungjawap pembuat hutang bukannya waris! Justeru, kita perlu membuang sikap sambil lewa dengan menyerahkan tanggungjawap menjelaskan hutang kepada waris yang akan ditinggalkan.

Soalnya apa patut kita lakukan? Dalam dunia sekarang, ramai membeli harta secara hutang. Ada juga hutang cukai, zakat dan lain lain. Bukan tak nak selesaikan tapi belum mampu! Bagaimana kita boleh rancang untuk memastikan diri terlepas daripada tanggungjawap ini?

Jadi, saya mencadangkan.

1. Sertai khairat pusaka dan lantik WASI anda. Ini memastikan urusan hutang dan pusaka anda diselesaikan segera tanpa waris perlu bersusah payah mengeluarkan kos. Dengan dokumen WASI, kalaupun ada waris tidak berkerjasama urusan pusaka tetap boleh dijalankan.

2. Catatkan hutang yang anda buat dan yang anda beri didalam dokumen WASI anda. Ini demi memastikan segala urusan dunia anda akan diselesaikan tanpa tertinggal.

3. Sediakan dana(melalui takaful contohnya) untuk digunakan untuk membayar hutang anda. Dana boleh hadir dari simpanan dan juga instrument lain seperti takaful. Ini kerana, ramai waris berkehendakan harta tapi jarang waris berebut melunaskan hutang simati. Dengan dana tersedia, insyaallah hutang dapat dijelaskan.

4. Lantik WASI yang amanah. Lantik wasi satu hal, tetapi memastikan wasi amanah dalam menjalankan tugas adalah hal yang lain. Selain waris yang diyakini, anda boleh lantik syarikat amanah yang terikat dengan undang undang untuk menjalankan tugas. Contohnya WAsiyyah Shoppe Trustee yang saya wakili.

Dengan langkah langkah diatas, insyaallah urusan hutang anda akan diselesaikan, pusaka anda diserahkan kepada waris yang berhak dan selesailah tanggungjawap dan amanah anda terhadap hutang dan harta.

Mohd Khairuddin
Perunding
Wasiyyah Shoppe Trustee
019 339 9278

Sudahkah anda merancang harta anda?

SUDAHKAH ANDA MERANCANG? Pepatah Inggeris berbunyi, "if you fail to plan, then you are planning to fail". Dalam soal perancangan h...